TINTA KAUNSELOR










EDISI  OGOS 2012/  KELUARAN 6

Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa demi membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan mulia.

Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa.
Bakti itu dalam bentuk material dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Antara bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.

·   Memberi nafkah.

Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

·   Menyediakan tempat tinggal.

Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

·   Memberi kasih sayang.

Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra, ayat 24)

·   Memberi perhatian.

Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.

·   Memenuhi permintaan.

Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.

Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: "Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi." Jawab Baginda: "Berjihad pada jalan Allah."

·   Melakukan apa yang disukai.

Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."

·   Bercakap dengan lemah lembut.

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'cis' terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut." (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

·   Menghadiahkan kejayaan.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

·   Meluangkan masa bersama-sama.
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

·   Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa.

Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya. wasalam...


 



EDISI: MEI 2012 / KELUARAN 5
"HALANGAN ADALAH KUASA PENGGERAK"

Pada bulan Mei ini terdapat beberapa sambutan penting untuk kita raikan, sambutan hari buruh disambut pada 1 Mei, hari ibu jatuh pada 13 Mei dan 16 Mei hari pendidik. Selamat menyambut hari pekerja kepada pekerja di seluruh Negara. Kepada semua ibu selamat menyambut hari ibu dan untuk pendidik selamat hari pendidik saya ucapkan semoga jasamu tetap dikenang. Sememangnya anda layak untuk kami raikan setiap tahun kerana pengorbanan  dan jasa yang dicurahkan dalam menjalankan tugas masing-masing. Sudah menjadi satu kemestian setiap apa yang kita lakukan mesti ada halangan yang mendepani kita untuk berjaya. Tidak kira siapa kita, pekerja, ibu, pendidik atau apa gelaran yang diberikan sememangnya halangan dan ujian tidak dapat lari dari kita, yang tinggal hanyalah bagaimana kita harus menghadapinya saja.
            Walaubagaimanapun, ianya merupakan satu idea yang sangat baik untuk mempelajari tentang halangan-halangan & ujian kerana jalan menuju kejayaan telah terbentang di atas “jalan-jalan halangan. Hal ini memang bertepatan dengan Firman Allah yang bermaksud “Adakah kamu menyangka bahawa akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (cubaan dan ujian) seperti yang telah berlaku kepada umat yang terdahulu daripada kamu” (Surah Al-Baqarah 2:214).
             Pada zaman dahulu seorang penakut yang sangat lemah mengeluarkan khabar angin yang menyatakan bahawa halangan merupakan rintangan, khabar angin palsu telah disebarkan oleh penakut yang lemah itu sebagai satu alasan bagi menyembunyikan kelemahannya. Terdapat juga orang yang mempercayai bahawa halangan sebagai alasan terhadap kegagalan.
                Fakta sebenarnya adalah, halangan merupakan kuasa penggerak menuju kejayaan. Kejayaan semua lelaki dan wanita dunia ini adalah digerakkan oleh halangan-halangan yang akan datang. Lebih besar halangan yang dihadapi, maka lebih besar peluang kejayaan seseorang. Sebagai contoh pada abad ini, ramai orang yang telah berjaya telah menempuh pelbagai halangan sebelum menjadi individu yang hebat dan terpengaruh di dalam masyarakat mereka. Abraham Lincoln, Andrew Jackson dan kebanyakkan presiden hebat memulakan kehidupan dalam keadaan miskin, hanya dengan sedikit pendidikan dan tiada kemudahan yang banyak digunakan sebagai kekuatan untuk menggerakkan bagi memenangi jawatan presiden Amerika.
                Seorang pelajar yang berusia 6 tahun telah dihantar pulang oleh gurunya dengan disisipkan sebuah nota untuk makluman keluarganya: pelajar ini terlalu bodoh untuk belajar. Bodoh itu halangan yang ada dalam dirinya.  Namun anak ini segera sedar akan kekurangannya dan dengan kesungguhan dia mendepani halangan itu. Dialah Thomas Edison, seorang pencipta yang terkenal dalam sejarah dunia hasil sumbangannya mencipta mentol lampu yang menerangi pelusok dunia dewasa ini.
                Seorang budak lelaki miskin bernama James Watt yang tidak mampu untuk bersekolah dan terpaksa diajar oleh ibunya di rumah. Namun, James Watt berjaya melepasi halangan hidupnya dan mampu mencipta enjin wap yang telah mengubah dunia industri sehingga kini. Terdapat seorang budak ladang yang miskin, kematian bapa sebelum beliau dilahirkan lagi dan ibunya terpaksa memeliharanya dengan pendapatan $ 400 setahun!. Anda pasti ingat kepadanya iaitu Sir  Issac Newton, yang merupakan individu yang menemui Hukum Graviti alam ini.
                Banyak lagi contoh-contoh manusia yang telah berjaya dalam hidup selepas mengharungi halangan yang membentangi hidup mereka. Mereka ini individu yang berjiwa besar dan menjadikan halangan sebagai pengerak kejayaan hidup mereka. Marilah kita hadapi! Halangan bukan satu kecacatan! Halangan merupakan peluang-peluang yang terbentang untuk menuju ke arah kejayaan. Halangan adalah cabaran yang akan menghasilkan  pulangan kepada sesuatu yang tidak mustahil.
Dalam artikel bulan ini saya sengaja menggunakan contoh-contoh kejayaan orang barat yang berjaya menghadapi halangan hidup dan menjadi individu hebat. Sebagai insan  yang beragama islam , kita harus mengambil iktibar daripada hidup ini. Agama islam mengajar kita supaya redha, berusaha bersungguh-sungguh, tidak mudah berputus asa dalam mengharungi hidup ini, kerana jalan menuju kejayaan dan kebahagian terbentang luas untuk kita zahirkan. Sesungguhnya setiap halangan dan ujian yang kita hadapi dalam hidup ini perlu kita atasi dengan bersungguh-sungguh dan lakukan yang terbaik serta memohon kepada Allah melalui solat dan doa, firman Allah yang bermaksud “ wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan mengerjakan solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai ( menolong )  orang yang sabar” surah Al-Baqarah 2:153 ),  Firman Allah dalam Surah Al-mu’min yang  bermaksud “ Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenangkannya” serta  Dan apabila hamba-Ku bertanya mu tentang Ku, maka ( beritahu kepada mereka ) sesungguhnya Aku sentiasa hampir ( dengan mereka )  Surah Al- Baqarah 2; 186 ). 
Nah inilah janji Allah, mengapakah kita harus merasa lemah dan berputus asa dengan halangan yang ada dihadapan kita sedangkan Allah sentiasa ada dan merupakan penolong yang paling dekat dengan kita. Yakinlah dengan janji Allah bahawa setiap ujian diberikan kepada kita semua adalah untuk menguji hambanya siapakah yang paling bertakwa dan redha menerima ujian dengan sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya. Hal ini dapat dibuktikan dengan firman Allah yang bermaksud “ sesungguhnya Aku menjadikan jin dan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepada Ku.  Selamat menyambut hari pekerja, Guru & Ibu 2012 semoga kita semua diberkati & diredhai oleh Allah SWT.


EDISI: APRIL 2012 / KELUARAN 4
“MASA LEBIH MAHAL DARIPADA EMAS”
Kita sering mendengar ucapan masa itu emas. Namun islam menyatakan ia lebih mahal daripada emas. Islam juga sangat mementingkan masa ini. Mudah-mudahan artikel dapat memberikan kekuatan bagi setiap kita termasuk saya untuk memenuhi masa dengan baik. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang kafir mati dalam kekufuran, maka tidak diterima jika mereka hendak menebus terhadap kesalahan mereka dengan emas sebesar bumi. ( surah Ali Imran : 91 )
                Hal ini berlaku kerana mereka tidak menggunakan masa sebaiknya untuk beriman dan beramal ketika mereka hidup di dunia. Dan beberapa surah dalam Al-Quran, Allah telah menggunakan masa sebagai hujah untuk mendakwa insan diakhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud: “ Bukankah kami telah memberi masa dan umur kepada kamu, kalau kamu manfaatkannya dengan keimanan dan ketakwaan pasti kamu dapat memanfaatkannya dan telah tiba peringatan kepadamu. Maka rasailah azab seksa dan tidak ada penolong bagi orang-orang yang zalim. ( surah Fatir: 37)
                Diantara petunjuk pentingnya masa kepada insan ialah Allah SWT telah bersumpah dengan masa, dimana dalam Al-Quran, Allah telah bersumpah dengan malam dan siang ( Al-lail: 1,2 ), Waktu Pagi ( Al-Fajr :1 ), subuh ( Al –Takwir : 18 ), Matahari pada waktu senja ( Al-insyiqaq: 16 ), Dhuha (Ad-Dhuha: 1) dan masa   ( Al- Asr: 1 ). Dengan yang demikian, telah mengambarkan bahawa masa sangat penting pada kehidupan insan bukan sekadar untuk bersuka ria dan menghabiskan masa untuk perkara yang tidak memberi manfaat kepada insan. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: Dua nikmat yang sering dicuaikan oleh ramai manusia ialah nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan (HR Bukhari). 
                 Imam Syafie telah berkata: aku telah berkawan dengan orang-orang sufi dan telah mengambil perkara penting dari mereka 1. Masa seumpama pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya dia memotongmu. 2. Diri kamu, kalau tidak kalau tidak disibukkan dengan kebaikan maka ia akan melakukan kabatilan. Telah berkata ibnu mas’ud iaitu, tidak ada perkara yang lebih aku kesali daripada terbenamnya matahari dalam keadaan berkurangnya umurku dan tak bertambah amalku.






Apabila kita melihat kehebatan para ulama dahulu dan salafusoleh, mereka telah mengunakan masa dan waktu dengan sebaik-baiknya sehingga mereka berjaya serta menjadi rujukan generasi kini dengan tulisan, kitab-kitab, riwayat dan sebagainya, walaupun umum telah mengetahui bahawa mereka berada pada zaman yang serba kekurangan dari segi teknologi dan kemajuan. Sebagai contoh sebahagian insan yang telah menggunakan masa dengan sebaiknya dan telah berjaya dalam hidup mereka:

1.       Imam Hammad
“ Musa telah berkata: Aku tidak pernah melihat Hamad b. Salamah ketawa. Dia sibuk dengan meriwayatkan hadis, membaca, bertasbih, sembahyang dan sebagainya. Beliau telah membahagikan waktu siangnya dengan perkara-perkara tersebut. Hamad meninggal dalam solatnya.

2.       Imam Khotib al-Bagdadi, beliau berjalan sambil membaca.

3.       Imam Nawawi beliau belajar dengan syeikh sehari 12 mata pelajaran ( ini menunjukkan ilmu perlu diperolehi dengan berguru dan Nabi juga berguru dengan Jibril). Beliau sibuk siang dan malam mengaji serta menelaah kitab sehingga ketika berjalan. Beliau hanya makan sekali sahaja sehari selepas isyak dan minum waktu sahur selama 6 tahun. Dua tahun beliau tidak membaringkan tubuhnya untuk tidur. Beliau tidak makan buah-buahan kerana takut banyak tidur. 4.       Imam Alusi seorang pakar tafsir, mengajar sehari 24 mata pelajaran, ketika beliau sibuk menulis, beliau mengajar 12 subjek sehari. Sememangnya insan, telah diperuntukan oleh Allah dengan masa yang secukupnya dan Allah telah menganugerah kekuatan akal untuk insan mengurus masa yang telah diberikan dengan sebaik mungkin bagi mendapat kejayaan yang diimpikan oleh insan tanpa ada batas dan sempadan siapakah status gelaran yang pakai, pelajar, guru, tukang kayu, peniaga dan sebagainya, Masa itu lebih bernilai daripada emas gunakanlah ia dalam pelaburan hidup bagi menentukan kejayaan dunia dan akhirat. Pada akhir tinta, marilah kita sama-sama renungi kembali kata-kata ibnu Ataillah As-Sakandari di dalam kitab Hikamnya yang bermaksud: Tidak ada ternilai waktu yang engkau mendapat manfaatkan untuk kebaikan. Dan tidak ada gantinya waktu yang engkau tidak manfaatkan untuk kebaikan. Wasalam. 

EDISI: MAC 2012/ KELUARAN 3

Ruangan Tinta kaunselor

"Kami Rindu Pada Mu Ya Rasulullah"

            Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung –burung gurun enggan mengepakkan sayap.

Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah;
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasululllah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. ‘Rasulullah akan meninggalkan kita semua , “ keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tanda-tanda itu semkin kuat, Alidan Fadhal cergas menangkap Rasulullah yang dalam berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidur baginda.

Tiba-tiba dari luar pintu luar terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “ Bolehkah saya masuk? Tanyanya, tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maafkanlah saya, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?” “ tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. ‘Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut, “ kata rasulullah. Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.
Kemudian dipanggilllah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. “ Jibril, jelaskan apa hakku nanti dihadapan Allah?” Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah. “pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu, “ kata jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “ Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana  nasib umatku kelak?” “ jangan kuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali setelah umat Muhammad yang telah berada di dalamnya,” kata jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit sakaratul mautini.” Perlahan rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan jibril memalingkan muka. “ Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril ?” Tanya Rasullullah pada Malaikat Penghantar Wahyu itu. “ Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal, “ kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi.” Ya Allah dahsyat rasa maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku. “Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak lagi bergerak. Bibirnya bergetar seakan-akan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya, “ uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku”. “ Peliharalah shalat dan perliharalah orang-orang yang lemah di antara kamu.’ Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan,” Ummatii, ummatti, ummatiii’- Umatku, umatku, umatku…dan, berakhirlah hidup manusia paling mulia yang memberi sinaran itu.

"kini..mahukah kita mencintai seperti Baginda?? Betapa cintanya rasulullah kepada kita".


*TINTA KAUNSELOR* 
EDISI: FEBRUARI 2012 / KELUARAN 2

 “KECELARUAN IDENTITI REMAJA”

"ISU identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan peri lakunya, malah dihubungkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan dikaitkan dengan potensi hari depan.Lebih jauh daripada itu identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepemimpinan dan kepengikutan yang bakal mewarisi kepemimpinan dan kepengikutan negara.Ia sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjad beban yang berpanjangan kepada masyarakat.
        Ada petanda yang merisaukan banyak pihak mengenai identiti remaja kini.Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej remaja sejak 30 tahun lalu cenderung kepada mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat. 


     Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi menghimpit, kecenderungan sebahagian remaja banyak terjebak dalam zon selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri. Mereka turut terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina ilmu dan bina9. negara.Statistik di kalangan remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan. Jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala Aids/HIV juga menakutkan.
           Apakah imej yang sedang melanda remaja kini disebabkan ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan hingga remaja menjadi mangsanya? Adakah ia akibat kealpaan kita terhadap peranan mendidik, memberikan idea pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara diterjemahkan secara bijaksana dan strategik kepada mereka?Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma positif dalam kehidupan. 
Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola yang bukan fitrah sifatnya. Ia juga dikaitkan dengan remaja yang mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa.

Remaja yang terjebak dengan kecelaruan itu bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara.Amat tidak adil jika anggapan dibuat bahawa semua remaja terjebak dengan masalah kecelaruan ini. Tetapi, petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk membina rasa bimbang dan resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas:-Gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan.Proses pembaratan yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram dan kehilangan arah.Kehidupan beragama sedang menjadi pertikaian antara halal haram, pelanggaran salah benar dan makruf mungkar.
             Memburu makna maju dan moden tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).Hilangnya rasa hormat dan adab terhadap tradisi, hilang malu terhadap orang tua, ibu bapa, guru malah masyarakat.Tiadanya cita-cita besar untuk bina bangsa, bina umat dan bina tamadun hingga menyebabkannya pudar. Banyak sebab yang boleh diberikan mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah masa amat kritikal dalam hidup seseorang manusia. Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk.
          Membentuk imej, watak dan tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini. Ia termasuk :-Kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan sewajarnya dalam pembentukan watak anak.Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan.Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak. Ramai anak yang mengalami 'keciciran' sejak awal umur lagi. Ibu bapa tidak mempunyai ilmu dan keterampilan keibubapaan berkesan dalam mendidik anak-anak. Tidak ramai ibu bapa yang faham proses pertumbuhan minda anak-anak, perkembangan psikik dan emosi mereka serta hubung kaitnya dengan tingkah laku yang diamalkan.Akibatnya wujud kelompangan dalam hati dan minda anak. Akhirnya anak membentuk minda, hati dan tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitarnya. Sekolah banyak berperanan menyediakan anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku.


Berlakulah 'keciciran' kedua di kalangan anak. Umur yang amat kritikal bagi seseorang manusia dari sudut Islam adalah dari kelahiran hari pertama hingga ke tahap akil baligh.Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik pada tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula.Masyarakat tidak menyediakan suasana yang kondusif supaya remaja dapat membentuk diri dan peribadinya ke arah peka masyarakat dan keadaan sekeliling secara positif.Sebahagian remaja terbabit dengan kerenah rakan sebaya yang menampilkan kegiatan negatif dan akhirnya terjebak dengan amalan merokok, ketagih dadah dan pergaulan lepas bebas.Sistem kenegaraan sendiri tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja.Orientasi dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan akhlak dalam pembinaan diri remaja. Tetapi, media cetak dan elektronik tidak dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan ketara apa yang dididik di sekolah dan rumah dengan apa yang dipaparkan media.

Akhirnya wujud konflik di kalangan remaja dan keadaan seperti ini melahirkan kecelaruan. Keadaan di atas diburukkan dengan isu keagamaan yang dipertikaikan secara terbuka tanpa pendekatan mendidik dan ilmiah sehingga menyebabkan sumber rujukan remaja bercelaru.Ada isu yang bercorak keagamaan boleh dibahaskan secara terbuka dan ada yang perlu dibincangkan di kalangan yang mempunyai keahlian.Bayangkan isu agama, imej ulama dan persepsi mengenai Islam menjadi polemik tidak sihat. Keadaan ini boleh mempengaruhi remaja yang sedang mencari identiti diri dan sumber pengetahuan yang boleh dijadikan sandaran pembentukan pemikiran dan keyakinan dirinya.-Prof Dr Sidek Baba "

EDISI: JANUARI 2012 / KELUARAN 1

"MOTIVASI KEJAYAAN"

Untuk berjaya dalam hidup, motivasi diri boleh dikatakan suatu keperluan. Kita mesti tahu bagaimana untuk memotivasikan diri kita. Kita juga perlu mempunyai semangat yang tinggi walau dalam keadaan seteruk mana pun. Sesiapa yang kehilangan semangat ketika melalui situasi yang sukar akan berdepan dengan kekalahan walaupun perjalanannya belum pun berakhir.

Persoalannya disini, bagaimana cara untuk mendapatkan motivasi diri. Disini ada diberikan sedikit tips motivasi diri yang sedikit sebanyak diharap boleh membantu anda dalam mengharungi kesulitan mahupun kesukaran dalam perjalanan kehidupan. Artikel motivasi ini membincangkan tentang apa yang perlu ada dalam diri untuk sentiasa bersemangat dalam mengejar cita-cita.

Tahu Tujuan

            Tiada sumber motivasi yang lebih kuat untuk anda berjaya dari tujuan anda melakukannya. Tujuan anda adalah inspirasi terbaik untuk memberi perangsang dalam menghadapi kesulitan di kemudian hari. Ia akan dapat membantu anda melakukan perkara-perkara yang dilihat mustahil  pada pandangan manusia normal. Bila anda fikir anda sudah tiada semangat untuk meneruskan perjalanan, ingat balik tujuan anda melakukannya dan motivasi itu akan kembali kepada anda serta merta.

Tetapkan Impian atau Matlamat.

            Tujuan anda untuk berjaya merupakan sumber motivasi yang kuat tapi masih belum cukup untuk merealisasikan apa yang anda mahukan. Anda perlu ada impian atau matlamat. Anda perlu bayangkan apa yang akan berlaku pada anda apabila anda berjaya mencapai tujuan anda. Memiliki impian sangat penting sebab sangat susah untuk bermotivasi jika anda tiada matlamat yang khusus.  Bayangkan pemain bola sepak. Adakah mereka akan bermotivasi jika tiada pintu gol untuk dijaringkan? Mereka memerlukan matlamat. Begitu juga anda. Matlamat atau impian yang ditetapkan mestilah cukup besar untuk menginspirasikan anda. Ia harus realistik dan mencabar untuk mengeluarkan anda dari zon selesa yang anda duduki sekarang ini.

Mempunyai Keinginan Yang Kuat

            Untuk benar-benar mendapat motivasi diri yang jitu, anda mesti mempunyai keinginan yang kuat. Ini akan membantu anda ketika melalui situasi-situasi yang sulit dan memastikan anda berusaha untuk melakukan prestasi yang terbaik walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Jika anda berasa seperti keinginan anda semakin pudar, apa yang perlu anda lakukan ialah untuk  melihat kembali kepada impian dan matlamat anda. Ini akan memberikan motivasi kepada diri anda dan meningkatkan lagi rasa keinginan anda.

Tetapkan Haluan Sendiri

            Membandingkan diri anda dengan orang lain biasanya akan mengurangkan keyakinan anda. Walaupun anda pada mulanya bersemangat, lama-kelamaan anda mula terasa kekurangan diri jika dibandingkan dengan orang lain. Elakkan ini terjadi kepada anda. Anda mempunyai matlamat sendiri dan apa yang orang lain kecapi tidak perlu dibandingkan dengan diri anda. Setiap orang mempunyai perjalanan hidup dan keadaan yang berbeza.  Membandingkan diri anda dengan orang lain adalah seperti membandingkan prestasi seorang perenang dengan seorang pelari menggunakan standard masa yang sama. Mereka berdua dalam situasi yang berbeza jadi ianya adalah tidak relevan untuk membandingkan kedua-dua orang ini.

Berani Meneruskan Perjalanan

            Apabila anda bertemu dengan cabaran dalam perjalanan anda untuk berjaya, anda mungkin cenderung untuk menghentikan perjalanan itu. Anda mungkin berfikiri bahawa ia terlalu sukar untuk diteruskan. Tetapi, ini sebenarnya adalah saat dimana anda boleh melihat perbezaan antara seorang yang menang ataupun seorang yang kalah. Meskipun kedua-duanya menghadapi kesulitan yang sama, tetapi satu perkara yang membezakan adalah keberanian untuk meneruskan perjalanan itu. Jika berhadapan dalam situasi yang sukar, fokuskan pemikiran anda untuk meneruskan langkah kehadapan. Jangan berfikir bagaimana untuk menyelesaikan perlumbaan atau berapa banyak lagi cabaran yang akan ditempuhi. Tetapi, hanya fokus untuk mengambil langkah yang seterusnya.

Lupakan Masa Silam

            Percaya atau tidak, salah satu pemusnah motivasi diri anda adalah masa silam anda sendiri. Ia boleh memberi beban yang berat diatas bahu yang perlu anda pikul. Walaupun begitu, ia adalah sesuatu yang boleh anda tinggalkan. Anda mungkin membuat kesalahan pada masa lalu. Anda mungkin telah mengecewakan orang lain dengan apa yang anda lakukan. Tapi itu semua sudah berlalu. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat anda ubah lagi hakikatnya. Hari ini adalah hari yang baru dan anda sentiasa mempunyai peluang untuk memulakan semula hari anda. Tidak kira seteruk mana masa silam anda, masih ada masa depan yang cerah menanti jika anda berani meneruskan perjalanan.

            Sekian, semoga tips motivasi diri yang diberikan diatas boleh membantu anda untuk mengecapi kejayaan dalam hidup. Tidak kira sesusah mana pun cabaran yang dihadapi, teruskan usaha anda, berdoalah untuk mendapat yang terbaik, dan bertawakal kepada Allah.

1 comment:

  1. BANYAK INPUT BERGUNA DI RUANGAN INI...RUGI SAPO YANG TAK BACA...

    ReplyDelete